Monday, August 18, 2008
MEMILIKI halaman berumput yang subur dan rapi tidak perlu berbelanja besar. Sebaliknya, ia boleh diperoleh dengan merujuk buku, majalah, internet malah pakar landskap yang sudi mendedahkan cara menjaga dan memeliharanya.
Sebaik asas penjagaan diketahui, anda mampu melakukannya sendiri. Malah, silap gaya, jiran dan rakan pula datang meminta diperturunkan petua dan ilham membentuk halaman indah.
Memangkas dan menyabit rumput perkara paling asas menzahirkan halaman terjaga rapi. Bagaimanapun tekniknya perlu betul terutama jika ini membabitkan pengalaman pertama anda memangkas dan menyabit rumput.
Jika ini kali pertama anda melakukannya, pastikan hayunan sabit anda mencecah hingga ke akar rumput. Selain membuang rumput mati, tujuan utamanya ialah membenarkan rumput baru dan lebih hijau tumbuh dengan cepat.
Pastikan kawasan berumput itu dicakar dan digembur sekalipun tidak keseluruhan rumput halaman anda potong dan pangkas. Cara ini dipercayai membantu menyuburkan tanah sekali gus menggalakkan pertumbuhan rumput baru yang lebih subur.
Kali kedua memotong rumput, pastikan mata sabit tidak dihayun terlalu dalam. Ketika cuaca panas terik, pastikan layahan sabit tidak mengena tanah yang mengakibatkan rumput bertukar kekuningan.
Seperti pokok dan bunga, halaman juga perlukan siraman supaya tidak layu dan kering. Sebelum itu, penting bagi anda mengenalpasti spesies rumput dan jenis tanah bagi mengagak jumlah dan kadar siraman yang diperlukan. Jangan sesekali menyiram halaman selepas hujan kerana ini menjadikan tanah tepu dan pada akhirnya rumput akan mati.
Detik terbaik menyiram halaman adalah pada awal pagi atau sejurus matahari terbenam. Ketika ini proses pemeluwapan kurang berlaku sekali gus membantu air meresap jauh ke dalam tanah.
Baja antara faktor penentu kesuburan tanah. Justeru, penting bagi anda mengenal pasti jenis tanah. Jika tidak pasti, bawa contoh tanah kepada pakar landskap dan pusat semaian supaya mereka boleh mencadangkan jenis baja yang sesuai untuk halaman anda.
Ada dua jenis baja untuk dipilih iaitu kimia atau organik. Apapun pilihan anda, pastikan arahan penggunaannya dipatuhi kerana terlebih meletak baja boleh merosakkan halaman.
Seperkara yang tidak semua orang tahu ialah tanah dan akar rumput memerlukan udara untuk bernafas terutama bagi tanah jenis padat. Untuk menguji kepadatan tanah, tuang sedikit air ke dalam tanah dan tunggu beberapa minit untuk melihat keupayaannya meresap air. Tanah yang gagal meresap air bermakna mempunyai karbon dioksida yang berkumpul di dalamnya.
Cara paling mudah menanganinya ialah tebuk lubang halus mengikut jarak tertentu di tanah. Tujuannya supaya oksigen dan air dapat meresap sampai ke akar. Lubang berkenaan seharusnya berliang kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.