Custom Search

Tujuh kriteria pendidik cemerlang

Saturday, August 16, 2008


i) Beriman, bertakwa dan berakhlak mulia - Pendidik selaku ‘role model’ kepada pelajar hendaklah dapat menjadi contoh dalam segala ehwal termasuk soal keimanan kerana iman dan takwa adalah asas kejayaan.

Setiap pendidik seharusnya berkemampuan dan melengkapkan diri dengan akhlak mulia membabitkan tutur kata, tindakan dan perbuatan serta tuntutan agama tidak boleh diketepikan.

ii) Memiliki ilmu dan kemahiran - Martabat dan kedudukan seseorang yang berilmu dengan orang tidak berilmu tidak sama.

Tiga aspek penting ilmu dan kemahiran pendidikan membabitkan:

a) Organisasi/konsep - Memahami Falsafah Pendidikan dan misi organisasi, bidang kerja, skop pendidikan dan tanggungjawab.

b) Teknikal - Mengetahui teknik atau kaedah melaksanakan fungsi pendidikan secara cekap dan berkesan. Ini termasuk teknik perancangan, komunikasi, kepemimpinan, pengawalan dan penyelesaian masalah.

c) Kemanusiaan - Pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan kemanusiaan membabitkan aspek psikologi serta sosiologi kemanusiaan, keperluan motivasi manusia dan gelagat dalam organisasi.

iii) Bersikap proaktif dan positif terhadap diri, tugas dan organisasi - Terdapat tiga sikap pendidik dalam organisasi iaitu:

a) In-aktif - Pendidik yang ‘in-aktif’ ialah mereka yang hanya mengajar tetapi tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mendidik yang diamanahkan. Mereka tidak bertindak biarpun sudah diingatkan oleh orang lain, tetapi mereka terus mengamalkan sikap ‘tidak ambil kisah’ terhadap apa yang berlaku.

b) Reaktif - Pendidik yang reaktif bermaksud mereka hanya melakukan sesuatu hanya apabila disuruh oleh orang atasan atau sekiranya timbul sesuatu masalah.

Mereka kurang bersedia untuk masa depan dan sering bertindak mengikut perasaan dengan keadaan persekitaran.

c) Proaktif - Pendidik yang proaktif sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna serta mereka tidak bergantung kepada orang lain dan lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

Golongan itu lebih rasional dan sentiasa merancang untuk menjayakan misi sebagai pendidik.

iv) Mempunyai matlamat yang jelas - Pendidik cemerlang mempunyai matlamat yang jelas dan mengandungi lima komponen iaitu specific (jelas), measurable (boleh diukur), attainable (munasabah), relevant (berkaitan) dan time frame (masa) atau ringkasnya SMART.

v) Bijak mengurus masa - Pendidik cemerlang seharusnya dapat mengurus masa dengan baik, dapat merancang tindakan dan masa untuk bertindak, cekap melakukan pengagihan tugas dan berusaha sedaya upaya untuk mengelak melakukan pembaziran masa.

vi) Mempunyai keyakinan dan motivasi diri tinggi - Pendidik cemerlang lazimnya memiliki pemikiran dan motivasi yang tinggi serta dapat menyediakan diri untuk menjadi ‘role model’ kepada pelajar dalam pelbagai aspek terutamanya prestasi kerja.

Mereka juga dapat mengatur langkah dan strategi bagi meningkatkan keyakinan, motivasi diri, sentiasa berusaha serta berikhtiar bagi memberi rangsangan baik ke arah pemikiran positif, terbuka serta sentiasa mengamalkan konsep budaya ilmu dalam kehidupan.

vii) Sentiasa mempertingkatkan diri - Mereka bersikap seperti mengaudit diri, kakitangan dan organisasi, membudayakan amalan berbincang serta bermesyuarat terutamanya membabitkan agenda perubahan, pelaksanaan program pembangunan diri, kakitangan dan oranisasi.